Home Hiburan KRU PERNAH LALUI ERA DUKA

KRU PERNAH LALUI ERA DUKA

Kejayaan penuh makna Konsert GenKRU pada 3,4,10 dan 11 Mei lalu melakar sejarah tersendiri buat KRU. Bukan hanya persembahan berskala besar, namun tiket dijual ‘sold out’.

Memetik laporan Harian Metro, pun begitu, KRU juga pernah melalui era ‘duka’ yang mana lagu dan konsert mereka diharamkan atas beberapa faktor antaranya, penggunaan campuran Bahasa Melayu dan Inggeris.

Menurut Datuk Norman Abdul Halim, 54, ketika permulaan KRU yang muncul dengan album pertama Canggih, mereka mencampur aduk Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam lagu dihasilkan.

“Kami campur aduk bahasa sebab ada setengahnya macam tak kena cakap Bahasa Melayu, jadi kita buatlah campur sebab nak nampak macam ‘cool’ sedikit. Tapi, sembilan daripada 10 lagu album Canggih itu diharamkan di radio.

“Masa itu, RTM (Radio Televisyen Malaysia) sahaja yang ada. Jadi, di situ yang kami sedar apa yang cuba dibuat itu terlampau ‘heavy’ (berat). Mungkin pasaran belum ‘ready’ (sedia) lagi dan kami pun tukar, buat rakaman semula.

“Namun, RTM tetap menyokong kita apabila menyiarkan juga lagu Wawasan 2020 yang ditukar daripada sebutan asal ‘twenty twenty’ kepada ‘dua puluh dua puluh’. Dari situ, baru orang dengar dan tahu mengenai KRU.

“Kalau tidak, asal-usulnya memang lagu itu (Wawasan 2020) dah kena ‘banned’ (haramkan). Kami juga memang jauh ketinggalan dengan 4U2C yang ada Fiona. Mana-mana pergi, boleh dengar orang main lagu Fiona,” katanya.

Mengimbas juga situasi Konsert Krumania pada 1997 yang diharamkan, Norman berkata, ia membabitkan lagu Fanatik yang juga ‘follow up’ (susulan) daripada lagu Negatif sebelumnya.

“Bila kami keluarkan lagu Fanatik itu pula, ada macam-macam sekatan. Begitu juga, kami pernah buat duet dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee pun jadi kontroversi.

“Jadi, apabila kami buat konsert, lebih kurang orang yang sama yang protes tidak mahu kami mengadakan konsert. Tambahan pula ketika itu, jarang kalau penyanyi rap yang punya muzik boleh penuh stadium.

“Sampai orang boleh pengsan-pengsan. Bukan kami saja-saja buat, tapi memang berlaku. Tapi, tak adalah sampai benda-benda tidak senonoh macam ambil barang terlarang ke? Memang tak ada benda negatif itu,” katanya.

Ujar Norman lagi, apa yang berlaku juga mungkin daripada persepsi orang luar yang melihat ia seperti satu ‘budaya kuning’. Maklumlah, KRU pula nyanyi lagu rap dan bukan dondang sayang.

Ditanya sama ada terbit perasaan kecewa ketika Konsert Krumania itu diharamkan, katanya memang dia ada rasa kecewa ketika itu berikutan KRU sebelumnya tidak pernah mengambil pinjaman bank dan sebagainya.

“Kami juga tak ada dapat tajaan yang besar-besar sebelum itu. Tapi, bila kami dapat tajaan (untuk Konsert Krumania) dan prospek perniagaan yang baik, kami ambillah pinjaman bank.

“Tapi bila konsert kita diharamkan, saya nak jawab pada ‘client’ macam mana?, nak jawab dengan bank macam mana? Di situ juga, kami ada kakitangan kira-kira 40 orang ketika itu, nak bayar gaji macam mana?

“Semua itu ‘stuck’, jadi saya ketika itu memang rasa sesak betul, rasa ‘down’ (terduduk) dan ada jugalah pengurus kami masa itu berjumpa dengan ramai orang termasuk tokoh-tokoh politik.

“Tiba-tiba suatu malam itu, saya tengok Buletin Utama dan keluar ‘first news’ oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM) ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim cakap kita kena tolong adik-adik kita ketika perbincangan di kabinet.

“Dari situ, saya terfikir macam mana ini? Saya pula ketika itu memang tak tahu, saya budak-budak mana nak tahu fasal politik. Tapi, yang ‘best’ dah masuk Buletin Utama dan nampaklah masalah akan selesai.

“Jadi, tekanan dihadapi ketika itu saya rasa antara dua ke tiga bulan juga yang kami lalui. Ada orang janji nak tolong, tapi jadi tak jadi, jadi tak jadi. Alhamdulillah, selepas itu tajaan kami dapat diteruskan dan konsert pun diteruskan,” katanya.

Norman memaklumkan dia amat gembira apabila pinjaman bank yang dibuat juga dapat dibayar, sekali gus itulah pengalamannya dan boleh dikatakan dia ada terfikir mungkin ia pengakhiran buat KRU masa itu.

KRU dianggotai dua lagi adik-beradik Norman iaitu Datuk Yusry, 52, dan Edry, 49, bagaimanapun berjaya menerima pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR) untuk Konsert GenKRU mereka pada Mei lalu atas kejayaan hebat dicapai. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here