Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Seramai 8.6 juta rakyat bakal menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion bermula esok.
Dalam kenyataan Kementerian Kewangan hari ini memaklumkan bagi fasa ini, penerima akan memperoleh bayaran sehingga RM650, membabitkan peningkatan seramai 300,000 orang berbanding 8.3 juta penerima pada Fasa 1 Januari lalu.
Menurut kenyataan itu, peningkatan itu hasil daripada langkah Kerajaan MADANI membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak.
“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan MADANI tidak mengambil enteng amanah yang dipikul untuk meningkatkan maslahat rakyat terbanyak, agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara.
“Lebih daripada bantuan tunai semata-mata, STR memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan, agar kita dapat menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi MADANI,” kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pembayaran STR Fasa 3 akan dibuat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing
Individu yang namanya tidak tersenarai dalam pangkalan data STR perlu membuat permohonan baharu bagi membolehkan proses verifikasi dimuktamadkan.
Semakan status kelayakan dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati melalui Portal Rasmi STR di pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.
Kementerian mengingatkan orang awam supaya berwaspada terhadap pautan tidak sahih yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berhubung STR.
IMedikel TV






