RAMALLAH: Pihak Berkuasa Palestin (PA) pada Sabtu membidas keputusan kerajaan Israel untuk meluaskan operasi ketenteraannya di Gaza dengan Presiden Mahmud Abbas menyifatkan rancangan itu sebagai “jenayah baharu” dan menuntut organisasinya mengambil alih tanggungjawab di wilayah itu.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro awal Jumaat lalu, kabinet keselamatan Israel meluluskan rancangan untuk operasi besar bagi menawan Bandar Gaza, sekali gus mencetuskan gelombang kritikan dari seluruh dunia.
Dalam mesyuarat sama, ia turut menerima pakai satu set prinsip untuk menamatkan perang di Gaza termasuk menjadikan wilayah itu bebas tentera dan menubuhkan “pentadbiran baharu yang bukan Hamas mahupun PA”.
Menurut satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Palestin, Wafa, pemimpin PA itu berkata, rancangan Israel “satu jenayah baharu,” dan menekankan “keperluan mendesak untuk mengambil tindakan bagi menghentikannya serta-merta.”
Beliau turut menegaskan “kepentingan untuk membolehkan Negara Palestin memikul tanggungjawab penuhnya di Semenanjung Gaza dan keperluan untuk gencatan senjata segera serta kekal, pembebasan tebusan dan tahanan serta kemasukan bantuan kemanusiaan.”
PA yang diwujudkan sebagai langkah pertama ke arah sebuah negara Palestin hanya mempunyai pentadbiran terhad di sebahagian Tebing Barat yang diduduki Israel.
Wilayah itu adalah kediaman kepada kira-kira tiga juta rakyat Palestin dan menempatkan sekitar setengah juta warga Israel di penempatan yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa.
Bagaimanapun, PA tidak mempunyai kehadiran di Gaza, yang ditadbir oleh Hamas selama hampir dua dekad.
Walaupun mendapat tentangan, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu tetap bertegas dengan keputusan itu dan dalam satu hantaran media sosial berkata, “kami tidak akan menduduki Gaza, kami akan membebaskan Gaza daripada Hamas.”
Perdana menteri itu berdepan tekanan yang semakin memuncak untuk mendapatkan gencatan senjata bagi menyelamatkan lebih dua juta penduduk Gaza dari ambang kebuluran dan membebaskan tebusan.
Satu kenyataan bersama oleh menteri-menteri luar Itali, Australia, Jerman, New Zealand dan United Kingdom turut mengkritik keputusan menawan Bandar Gaza kerana ia akan memburukkan lagi keadaan kemanusiaan.
Kumpulan kempen Israel, Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang turut mengutuk rancangan perang itu dengan berkata, “memperluaskan pertempuran membahayakan tebusan dan askar.”
Jurucakap presiden Palestin, Nabil Abu Rudeineh menyifatkan rancangan itu sebagai “satu cabaran dan provokasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap kehendak antarabangsa untuk mencapai keamanan.”
Serangan Israel membunuh lebih 61,000 rakyat Palestin, menurut kementerian kesihatan Gaza manakala serangan Hamas pada 2023 yang mencetuskan perang mengakibatkan kematian 1,219 orang. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






