Pelakon jelita, Siti Saleha, 35, yang hamil empat bulan, mengambil keputusan bercuti bagi memberi tumpuan kepada keluarga, kesihatan dan bayi dikandung.
Memetik laporan Harian Metro, Siti Saleha berkata, dia akan berehat selepas selesai penggambaran drama bersiri Bad Cop arahan Jason Chong.
“Selepas selesai projek sekarang, saya tidak akan ‘shoot’ (jalani penggambaran) buat sementara waktu kerana meletihkan.
“Saya mahu ‘chill’ sehingga bersalin dan tengoklah, apabila badan kembali mantap dan ramping, saya akan ‘shoot’ semula.
“Saya akan ambil masa (bercuti) sekejap, tetapi, tidaklah sampai dua atau tiga tahun,” katanya pada sidang media selepas meraih trofi Selebriti Ikon Terhangat pada
Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu.
Saleha berkata, pada fasa trimester pertama kehamilan, dirinya sihat, namun, kadangkala keletihan seperti dirasai wanita mengandung lain.
“Alhamdulillah, pada trimester pertama, saya tiada alahan, mengidam atau mual. Namun, rasa penat itu biasa bagi wanita hamil.
Sementara itu, berkongsi kejayaan meraih trofi Selebriti Ikon Terhangat, Saleha bersyukur terus mendapat sokongan peminat.
“Alhamdulillah, rezeki saya untuk menang kategori ini. Saya sangat dirahmati melalui karier ini.
“Saya sangat bersyukur apabila dipilh sebagai ikon selepas lebih 15 tahun dalam industri seni,” katanya.
Saleha menganggap kejayaan di pentas AMT 2025 sebagai rezeki ‘baby’.
“Ini rezeki saya, ‘baby’ dan kelab peminat yang setia dan sentiasa beri sokongan. Mereka sayang dan karier saya ini. Saya gembira berada di sini… Alhamdulillah,” katanya.
Baru-baru ini, Saleha berkongsi dirinya berbadan dua melalui hantaran video yang dimuat naik di Instagram. Video itu dirakam ketika Saleha dan suami, Joshua Fitton berada di Bali, Indonesia.
Saleha dan Joshua diijabkabul dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, pada Februari lalu. – HMetro Online –
IMedikel TV






