LIVERPOOL: RB Leipzig dilaporkan sudah membuka rundingan awal dengan Liverpool untuk mendapatkan pemain tengah, Harvey Elliott pada harga 50 juta pound (RM280 juta).
Menurut laporan The Athletic, kelab Bundesliga itu melihat Elliott sebagai pengganti kepada Xavi Simons, yang semakin hampir menyertai Chelsea selepas digugurkan daripada skuad pramusim Leipzig hujung minggu lalu.
Elliott, 21, masih beraksi dalam perlawanan persahabatan pramusim bersama Liverpool Isnin lalu, malah turut menjaringkan gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Athletic Club.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, namun, masa depannya di Anfield menjadi persoalan selepas hanya membuat dua penampilan sebagai kesebelasan utama dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim lalu – kedua-duanya selepas Liverpool sah muncul juara.
Ketibaan bintang baharu seperti Florian Wirtz dijangka terus menyukarkan peluang Elliott untuk mendapat minit permainan secara konsisten.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, Elliott secara terbuka mengakui dia perlu mempertimbangkan masa depannya dan mendapatkan lebih banyak peluang bermain.
“Saya kini berusia 22 tahun dan akan mencecah 23 musim depan. Saya tidak mahu sia-siakan tahun-tahun penting dalam kerjaya bola sepak saya.
“Saya hanya mahu berkembang, jadi pemain terbaik yang saya mampu. Jika itu bermakna saya perlu ke tempat lain, maka itu satu keputusan yang perlu saya buat,” kata Elliott.
Elliott, yang sudah membuat 147 penampilan bersama Liverpool sejak tahun 2019, baru-baru ini dinobatkan Pemain Terbaik Kejohanan B-21 Eropah selepas menjaringkan lima gol dalam enam perlawanan.
Liverpool dikatakan bersedia melepaskan Elliott pada harga 40 juta pound (RM224 juta) jika Leipzig bersetuju menyertakan klausa pembelian semula dalam kontrak, atau 50 juta pound (RM280 juta) tanpa klausa berkenaan. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






