KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) memberi amaran awal kepada pencabar Liga Super apabila membelasah kelab Singapura, Hougang United 12-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Memetik laporan Berita Harian perlawanan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan langsung tidak memberi ruang kepada lawan, apabila meledak tujuh gol pada babak pertama dan lima lagi selepas rehat.
Arif Aiman Hanapi membuka tirai jaringan seawal minit keempat, diikuti Jairo Da Silva (minit ke-7), Hector Hevel (minit ke-10) dan Joao Figueiredo (minit ke-12) dengan semuanya dalam tempoh 10 minit pertama.
Jonathan Silva mencuri tumpuan dengan dua gol pantas pada minit ke-20 dan 23, sebelum Eddy Israfilov menambah derita Hougang pada minit ke-26 bagi memastikan JDT mendahului 7-0 ke bilik persalinan.
Babak kedua turut menyaksikan prestasi memukau pemain import, Oscar Arribas yang meledak hatrik (57′, 80′, 84′), selain dua gol menerusi Romel Morales (62′, 77′).
Kemenangan besar itu bukan saja memberi tonik terbaik menjelang saingan semula Liga Super, malah membuktikan kualiti ketumpulan serangan JDT yang kini bernafsu besar memburu kejuaraan domestik dan Asia.
Pengendali JDT, Xisco Munoz dijangka terus menguji kombinasi terbaik skuad kendaliannya menerusi beberapa lagi perlawanan pemanas badan sepanjang Ogos ini.
Untuk rekod, Hougang United berada di tangga tercorot Liga Premier Singapura musim ini dan perbezaan ketara kelas permainan jelas menyebelahi juara 10 kali Liga Super itu. – BH Online –
IMedikel TV






