Home Buletin Semasa JKDM KELANTAN RAMPAS BUNGA GANJA BERNILAI LEBIH RM10 JUTA

JKDM KELANTAN RAMPAS BUNGA GANJA BERNILAI LEBIH RM10 JUTA

454
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

RANTAU PANJANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 102.178 kilogram (kg) bunga ganja bernilai lebih RM10 juta selepas mematahkan cubaan penyeludupan di dua lokasi sekitar Rantau Panjang, pada 23 April lalu.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata semua bunga ganja itu diletakkan di dalam plastik lutsinar dan diseludup melalui pengkalan haram sebelum dibawa melalui Zon Bebas, di sini.

“Ketika serbuan pertama kira-kira jam 10.30 pagi, kita dapati sebanyak 88 paket plastik lutsinar yang disyaki berisi bunga ganja di dalam tiga beg yang ditinggalkan di Pintu 1 , Zon Bebas.

“Pada masa dan lokasi sama, kami turut memeriksa seorang wanita yang membonceng motosikal, dan mendapati terdapat 32 paket plastik lutsinar di dalam satu beg yang juga disyaki berisi bunga ganja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan lain kira-kira jam 11 pagi, pihaknya dapati dua individu mempunyai 60 paket plastik lutsinar disyaki berisi bunga ganja dan diletakkan di dalam dua beg di Hentian Bas Express, di sini.

Katanya, seramai tiga individu termasuk dua perempuan berkenaan ditahan dan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Rantau Panjang untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, modus operandi yang digunakan adalah menyeludup bunga ganja melalui pengkalan haram di sepanjang Sungai Golok melalui Zon Bebas, di sini.

“Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“JKDM juga menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-8855, atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Kami juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here