Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan terbuka untuk bertemu dengan penganjur pertemuan serta pihak polis bagi mendapatkan penjelasan sebenar berhubung pertemuan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai baru-baru ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk bertemu mereka pada bila-bila masa bagi mengelakkan ianya salah faham.
“Apa sahaja program yang nak dibuat, kalau ianya bertentangan dengar dasar kerajaan negeri dan adab orang Kelantan, kita memang tidak boleh terima di sini.
“Kita akan melihat mana-mana peraturan atau peruntukan dalam Enakmen Kanun Syariah, jika didapati melanggar, akan diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.
Katanya, apa sahaja program yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat perlu mendapat kebenaran atau permit daripada pihak berwajib seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK), polis dan sebagainya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mereka yang mengaku salah di mahkamah semalam mungkin didakwa atas kesalahan mereka sendiri bukan daripada penganjur.
“Sebab itu mesti disiasat supaya pihak polis juga tidak dipersalahkan oleh masyarakat.
“Rata-rata LGBT ini ada, cuma kita ingin kekangkan supaya perkara ini tidak melarat dan merebak, kita juga tidak ingin ia berlaku kepada anak-anak kita,” katanya.
IMedikel TV






