LONDON: Novak Djokovic mengakui realiti mula terasa selepas pemain Serbia itu gagal menyaingi jurang usia 15 tahun apabila tewas di separuh akhir Wimbledon kepada pemain Itali, Jannik Sinner, awal pagi tadi.
Memetik laporan REUTERS menerusi Harian Metro antara banyak rekod yang ingin dicapainya dalam penampilan ke-20 di Wimbledon adalah menjadi pemain paling tua memenangi gelaran Grand Slam perseorangan.
Namun pada usia 38 tahun, pemain yang sering kelihatan seperti ‘manusia luar biasa’ selepas memenangi 24 gelaran Grand Slam itu akhirnya kelihatan seperti usianya ketika Sinner menewaskannya 6-3, 6-3, 6-4.
Djokovic mengakui dia tidak berada pada tahap terbaik selepas terjatuh lewat permainan ketika menentang Flavio Cobolli dalam pusingan sebelum ini.
Namun, walaupun tanpa kesan kecederaan sepanjang dua minggu yang panjang dan panas itu, dia tetap berdepan kesukaran menahan asakan dan aksi luar biasa Sinner yang berusia 23 tahun.
“Sejujurnya, ia bukan satu perasaan yang menyenangkan di atas gelanggang. Saya tidak mahu bercakap secara terperinci mengenai kecederaan saya dan merungut kerana gagal bermain dengan baik.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jannik atas persembahan hebat. Dia layak ke final. Dia terlalu hebat,” kata juara tujuh kali Wimbledon itu kepada wartawan.
Djokovic kini satu-satunya wakil terakhir daripada era “Big Four” selepas persaraan Roger Federer, Rafa Nadal dan Andy Murray, dan dia terus menjadi lambang perjuangan generasi lama, apabila mara ke separuh akhir kesemua kejohanan Grand Slam tahun ini.
“Ia soal usia dan keletihan tubuh badan. Walaupun saya menjaga tubuh saya sebaik mungkin, realitinya benar-benar terasa sekarang. Setahun setengah kebelakangan ini lebih terasa berbanding sebelum ini.
“Pemain-pemain ini muda dan cergas . Saya rasa seperti masuk ke gelanggang dengan tenaga yang separuh kosong. Memang mustahil untuk menang dalam keadaan sebegitu. Ini adalah salah satu perkara yang perlu saya terima dan hadapi dengan cara tersendiri,” Djokovic. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






