Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan merogol adik perempuan bongsu ketika usia mangsa 11 tahun di sebuah rumah di Bachok pada April 2023 hingga April 2025.
Tertuduh berumur 20 tahun dan juga anak kedua membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa di dalam bilik bapa mereka pada April 2023.
Pada pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa di dapur rumah pada Disember 2024 dan bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa merogol mangsa sama dalam sebuah bilik pada April lalu.
Kesemua kejadian didakwa berlaku di sebuah rumah di Bachok.
Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lapan tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dikenakan sebatan tidak kurang dari 10 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Firdaus Zainal Abidin.
Mangsa kini berusia 13 tahun dan ditempatkan di pusat perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan disahkan mengalami tekanan psikologikal akibat kejadian tersebut.
Peguam tertuduh, Mohd Firdaus, memohon agar mahkamah mempertimbangkan jaminan terhadap anak guamnya memandangkan isteri tertuduh kini sedang hamil pada peringkat awal dan memerlukan penjagaan dan rawatan yang berterusan.
“Justeru kehadiran tertuduh amat diperlukan dalam tempoh tersebut selain pasangan itu juga sedang dalam proses untuk berpindah ke Kuala Lumpur,” katanya dalam rayuan.
Ahmad Faiz Fitri kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 memandangkan kes adalah serius kerana membabitkan tiga pertuduhan dan mahkamah juga sedia maklum keseriusan kes sebegini di Kelantan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin dan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan.
Mahkamah menetapkan 6 Ogos depan bagi sebutan semula kes.
IMedikel TV





