Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Rata-rata pengasas produk di negeri ini menyangkal dakwaan bahawa mereka mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah baru-baru ini.
Pengasas BYO Kosmetik, Fazrin A Zuhari berkata usah takut dicop dengan gelaran itu sekiranya mereka tidak melakukan perbuatan jijik itu.
Menurut Fazrin, sejak kes itu panas dan mendapat perhatian masyarakat, wujud ura-ura yang mengaitkan dirinya dengan perniagaan tidak beretika, walaupun dia tidak mengenali individu yang terlibat.
“Buat apa kita nak takut kalau kita tidak melakukan perkara sebegitu.
“Mengenai pengasas dan peniaga-peniaga lain itu, saya sebenarnya langsung tidak kenal mereka, memang terasa sedikit terpalit juga, tetapi buat apa kita nak takut kalau kita tidak buat seperti mereka, saya ambil pendekatan untuk tidak ambil tahu kerana perkara itu tidak betul,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas dakwaan itu selepas Program Pengagihan Sumbangan Kepada Golongan Asnaf, di Kampung Jelawat, di sini, pada Ahad.
Jelasnya, dia lebih selesa untuk berdiam diri dan menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan, selain mendoakan agar mereka yang terlibat diberikan petunjuk untuk kembali ke pangkal jalan.
“Saya harap mereka yang terlibat diberi hidayah, banyak lagi perniagaan yang boleh diceburi secara halal dan berkat, dan saya doakan mereka menjadi insan yang lebih bermanfaat kepada masyarakat,” ujarnya.
Katanya, tiada jalan mudah untuk berjaya, sebaliknya setiap kejayaan memerlukan usaha dan kesabaran.
“Tidak perlu buat kerja haram kerana banyak kerja halal yang boleh menjadikan kita berjaya, teruskan buat baik, lakukan apa yang Allah suka, insha-Allah Dia akan beri apa yang kita suka,” katanya lagi.
Terdahulu, Fazrin berkesempatan mengagihkan sumbangan berupa 1,000 pek beras kepada golongan asnaf sekitar Bachok.

Katanya, beliau berpuas hati kerana dapat melihat raut wajah kegembiraan penerima dan semangat mereka hadir untuk menerima bantuan tersebut.
“Saya lihat mereka datang awal pagi dan nampak semangat mereka untuk menerima sumbangan ini walaupun nilainya tidak seberapa, saya amat bersyukur kerana mereka menghargai apa yang diberikan, dan saya dapat rasakan mereka sangat memerlukan bantuan tersebut.
“Alhamdulillah, ini jugalah matlamat utama saya merasai kepuasan apabila dapat memberi dan melihat sendiri kegembiraan di wajah mereka,” katanya.
IMedikel TV






