Home Buletin Semasa PEMANDU LORI MENGAKU TIDAK BERSALAH ATAS PERTUDUHAN AMANG SEKSUAL ANAK TIRI, CEDERAKAN...

PEMANDU LORI MENGAKU TIDAK BERSALAH ATAS PERTUDUHAN AMANG SEKSUAL ANAK TIRI, CEDERAKAN ISTERI

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak tiri perempuan dan memukul isteri di sebuah rumah pada 6 dan 19 Jun lalu.

Tertuduh, Muhammad Fahmi Rasdi Abdullah, 29, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah dan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak berumur 11 tahun tujuh bulan yang juga mempunyai hubungan amanah dengan maksud seksual di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Kedai Buloh, Jalan Kuala Besar pada jam 8.00 pagi, 6 Jun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama, dibaca bersama Seksyen 16 Akta sama, yang mana bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi hukuman di bawah Seksyen 16(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak, memperuntukkan penjara tidak melebihi lima tahun dan tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes serius, namun tertuduh kemudian memohon mengurangkan hukuman.

Hakim kemudian meminta tertuduh melantik peguam dan tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh.

Mahkamah mengarahkan tertuduh ditahan reman dan menetapkan 28 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula dan lantikan peguam.

Sementara itu, bagi pertuduhan di Mahkamah Majistret pula, Muhammad Fahmi Rasdi didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya berumur 30 tahun di lokasi sama pada jam 2.10 petang, 19 Jun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi hukuman kesalahan di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula memperuntukkan penjara selama tempoh dua kali ganda tempoh maksimum atau dengan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Nik Nazriani Nik Ab Rahman.

Terdahulu, Muhammad Syamsul Ikhmal menawarkan jaminan RM8,000 dengan syarat tambahan, namun Nik Nazriani memohon pengurangan jaminan dan ikat jamin atas alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,500 serta sudah berkahwin dan mempunyai empat anak yang mana anak bongsu adalah orang kurang upaya (OKU).

Majistret kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, serta mengenakan syarat tambahan agar tertuduh tidak menghampiri mangsa atau berhubung dengan ahli keluarga, rakan serta saksi sehingga kes selesai, sekiranya syarat itu dilanggar, jaminan boleh dinaikkan atau dilucutkan.

Mahkamah menetapkan 15 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here