Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Masalah air bertakung sejak beberapa dekad di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor dijangka selesai menerusi projek menaik taraf longkang konkrit di Kampung Kota.
Memetik laporan UPKN, Ahli Dewan Negeri (ADN) Salor, Saizol Ismail berkata, projek berkenaan dilaksanakan dalam dua fasa menerusi peruntukan Jabatan Kerja Raya (JKR) di bawah inisiatif Projek Kampung Angkat Madani dengan jumlah keseluruhan RM772,900 membabitkan jarak kira-kira 700 meter dari Kampung Kota ke Kampung Gaung.
“Fasa kedua akan disambung syarikat konsesi Roadcare dengan nilai tambahan RM1.7 juta. Projek ini diharap mampu menyelesaikan isu perparitan terutama ketika musim tengkujuh,” katanya kepada media ketika meninjau kemajuan kerja projek di lokasi, semalam.
Hadir sama Pengarah JKR Negeri Kelantan, Ir. Nik Soh Yaacob.
Beliau berkata, masalah air bertakung sering berlaku dari bulatan Kampung Kota hingga Kampung Gaung, malah ketinggian air kadang kala mencecah paras paha hingga menyukarkan pergerakan kenderaan ringan.
“Kadang-kadang air mengambil masa hampir seminggu untuk surut. Kita amat bersyukur kerana kampung ini dipilih sebagai Kampung Angkat Madani,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak JKR termasuk Ketua Pengarah dan Pengarah JKR Kelantan atas komitmen menyelesaikan isu rakyat.
Jelasnya, keadaan longkang sedia ada terlalu uzur dan tidak lagi sesuai untuk kerja penyelenggaraan, sebaliknya memerlukan penaiktarafan sepenuhnya.
“Fasa pertama dijangka siap 13 Julai ini sebelum disambung fasa kedua dalam tahun yang sama. Projek ini bakal memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk Kampung Kota,” katanya.
Saizol berkata, beberapa kampung lain dalam DUN Salor yang turut berdepan isu sama termasuk Kampung Mulong kini menerima peruntukan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan sedang dalam pelaksanaan.
IMedikel TV






