Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan cubaan penyeludupan tumbuhan bernilai lebih RM1 juta dalam satu operasi di Jalan Kampung Kedap, pada Selasa.
Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, rampasan itu dilakukan sepasukan anggota Batalion 8 PGA yang sedang menjalankan Op Taring Wawasan pada jam 12.10 tengah malam.
“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori dalam keadaan mencurigakan membawa kepada penemuan 9,000 anak pokok durian Black Thorn dan 9 pokok hiasan jenis Cycas yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemandu lori tersebut, seorang lelaki berusia 26 tahun, dipercayai dalam perjalanan menghantar tanaman berkenaan ke sebuah nurseri di Muar, Johor.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan terbabit adalah RM1.05 juta,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
Suspek dan semua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
PGA meneruskan pemantauan dan rondaan ketat di kawasan sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan termasuk bahan tanaman yang boleh mengancam biosekuriti negara.
IMedikel TV






