Home Buletin Semasa LOKASI PROSES AIR KETUM DISERBU, DUA LELAKI DITAHAN

LOKASI PROSES AIR KETUM DISERBU, DUA LELAKI DITAHAN

492
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan pengedaran air ketum selepas menyerbu lokasi pemprosesan bahan tersebut di sebuah rumah di Kampung Padang Chenok, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 3.30 petang menerusi Op Taring Wawasan itu PGA turut menahan dua lelaki tempatan yang terbabit dalam pemprosesan air ketum itu.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemeriksaan di lokasi membawa penemuan kepada 150kilogram (kg) daun ketum dan 250 bungkus air ketum yang sudah diproses.

“Pihak kami turut menjumpai pelbagai peralatan yang digunakan untuk memproses air ketum di dalam rumah berkenaan.

“Rumah tersebut disyaki menjadi lokasi mereka untuk memproses dan mengedar air ketum,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Kesemua barangan rampasan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

“PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan pengedaran air ketum dari terus berleluasa di sempadan negara,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here