KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara yang juga pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai meneruskan retak kemenangan apabila mara ke suku akhir Terbuka Singapura selepas menewaskan pasangan dari China.
Memetik laporan Harian Metro dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung selama 34 minit di Stadium Tertutup Singapura, Soon Huat-Shevon menewaskan Feng Yan Zhe-Wei Ya Xin 21-11, 21-19.
Pasangan China itu baru sahaja digandingkan bersama, namun tetap memberi saingan sengit di set kedua sebelum akur kepada kelebihan pengalaman beregu profesional negara.
Shevon ketika ditemui selepas perlawanan berkata, dia gembira dengan kemenangan itu apatah lagi selepas mereka tewas seawal pusingan pertama di Masters Malaysia, minggu lalu.
“Sebenarnya, sebelum turun ke gelanggang, masih ada sedikit ketidakpastian kerana prestasi kami minggu lalu tidak begitu stabil dan konsisten seperti yang kami jangkakan.
“Tambahan pula, pasangan saya baru sahaja pulih daripada kecederaan. Tapi hari ini saya ingin sekali lagi berikan penghargaan kepada Soon Huat kerana dia bekerja sangat keras untuk kembali ke gelanggang dan mengharungi perlawanan seperti ini,” katanya.
Menurut Shevon, meskipun terdapat beberapa kesilapan mudah dan salah faham di gelanggang, mereka berjaya bangkit dan menamatkan aksi dengan keputusan positif.
“Bukan mudah, tapi hari ini saya rasa kami berdua bermain dengan baik. Walaupun ada sedikit unforced errors, kami tetap kekal fokus dan bangkit semula.”
Mengulas mengenai cabaran di suku akhir, Soon Huat-Shevon bakal berdepan beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.
Di atas kertas, pertembungan antara kedua-dua pasangan dijangka sengit dengan rekod pertemuan sebelum ini seimbang dengan masing-masing mencatat tiga kemenangan daripada enam pertemuan.
“Kami akan hadapi satu perlawanan pada satu masa, bersedia untuk setiap perlawanan. Paling penting sekarang adalah memastikan kondisi badan kembali pulih sepenuhnya dan tidak alami sebarang kecederaan lagi.
“Kami juga perlu dapatkan semula momentum dan rentak permainan kerana sebelum ini kami sedikit kehilangannya,” katanya.
Turut mengesahkan tempat ke suku akhir adalah beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang menewaskan pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, 25-23, 21-18. – HMetro Online –
IMedikel TV






