Home Buletin Semasa DUA SAHABAT DIDAKWA ROMPAK ENAM KEDAI SERBANEKA

DUA SAHABAT DIDAKWA ROMPAK ENAM KEDAI SERBANEKA

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan rompakan berkumpulan di enam kedai serbaneka di sini termasuk sekitar Pengkalan Chepa pada awal bulan ini.

Seorang daripada mereka, Muhammad Zulhusni Irfan Mohamed, 20, bekerja sebagai buruh adalah Orang Kurang Upaya (OKU) pembelajaran dan Mohamad Lukman Akiff Mohamed, 28, bekerja sebagai tukang gunting rambut masing-masing membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulkifli Abllah dan Majistret Rais Imran Hamid.

Di Mahkamah Sesyen, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan ke atas enam kedai serbaneka di sekitar bandar ini dan Pengkalan Chepa antara jam 3.30 pagi hingga 6.10 pagi pada 10 dan 11 Mei lalu.

Rompakan enam kedai serbaneka itu turut membabitkan enam mangsa iaitu pekerja kedai yang berusia 21 hingga 31 tahun dan nilai kerugian wang tunai berjumlah RM1,211.30.

Bagi enam pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pada satu lagi pertuduhan, mereka didakwa cuba merompak sebuah kedai serbaneka melibatkan seorang pekerja berusia 24 tahun di Jalan Hamzah di sini, pada jam 6 pagi, 12 Mei lalu.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Muhammad Zulhusni Irfan dituduh memiliki sepucuk pistol tiruan di Jalan Sultanah Zainab di sini pada jam 6.45 pagi, hari sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Ahmad Naabil Mohamed Asri manakala hanya Muhamad Zulhusni Irfan diwakili peguam Muhamad Hanis Mohamed Shariff.

Mahkamah tidak membenarkan mereka diikat jamin dan menetapkan 29 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here