MANILA: Penyanyi dan penulis lagu Filipina, Freddie Aguilar, yang terkenal dengan lagu popular antarabangsanya yang menduduki carta iaitu “Anak”, meninggal dunia di Manila pada usia 72 tahun, semalam, lapor media tempatan.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, dia menerima rawatan di Pusat Jantung Filipina, menurut catatan di media sosial yang dimuat naik oleh isterinya, Jovie Albao-Aguilar.
Dia yang pernah menjadi pemuzik jalanan adalah salah seorang pemimpin pergerakan Original Pilipino Music yang berpusat di tempatan yang muncul pada tahun 1970-an, dan terkenal dengan aktiviti politiknya apabila sering menangani isu sosial melalui lagu.
Pada 1980-an, beliau meminjamkan suaranya kepada Pergerakan Kuasa Rakyat yang menggulingkan diktator Ferdinand Marcos ketika itu, dengan membawakan lagu balada patriotik tradisional “Bayan Ko” (Negaraku) yang berfungsi sebagai lagu kebangsaan.
Menurut profilnya di perkhidmatan muzik Spotify, dia memulakan kerjaya nyanyian dengan membuat lagu ‘cover’ (lagu rakaman semula) untuk anggota tentera Amerika yang ditempatkan di negara kepulauan itu.
Aguilar memeluk Islam pada 2013 pada usia 60 tahun untuk berkahwin dengan Albao-Aguilar, yang ketika itu baru berusia 16 tahun, di bawah Kod Keluarga Islam negara itu.
Dalam resolusi khas 2018, Senat Filipina memuji beliau atas “sumbangan cemerlang seumur hidup kepada seni dan budaya Filipina.”
“Anak”, lagu berbahasa Tagalog tentang perjuangan membesarkan anak yang bermasalah, terjual lebih 30 juta salinan. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






