Home Buletin Semasa 15 PATI DITAHAN DALAM OPERASI IMIGRESEN SEKITAR PASIR MAS

15 PATI DITAHAN DALAM OPERASI IMIGRESEN SEKITAR PASIR MAS

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan menahan seramai 15 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, pada Isnin.

Pengarah JIM Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan, berkata operasi berkenaan dijalankan pada jam 11.00 pagi, dengan kekuatan seramai sembilan pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan, JIM Negeri Kelantan.

“Bertindak atas maklumat risikan, pasukan penguat kuasa menjalankan pemeriksaan ke atas warga asing di beberapa lokasi tumpuan termasuk Tapak Pembinaan Semula Bangunan Daif Sekolah Kebangsaan Mekasar, kawasan sekitar Madrasah Al-Ahmadi, dan bangunan Tabung Haji Pasir Mas,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata hasil operasi itu, seramai 13 lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki dan seorang perempuan warga Thailand, yang berumur antara 25 hingga 54 tahun, ditahan kerana disyaki melanggar undang-undang imigresen negara.

“Kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen1963,”katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Yusoff Khan menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan PATI atau sebarang aktiviti melibatkan warga asing yang menyalahi undang-undang.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bersubahat, melindungi atau memudahcara keberadaan PATI di negara ini,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here