Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: “Sembilan daripada 10 ibu muda di Malaysia menghidap kemurungan,”kata Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Katanya hasil dapatan itu adalah melalui kaji selidik yang dijalankan pihaknya setiap kali program sambutan hari ibu.
“Setiap kali sambutan hari ibu, kita akan agihkan borang kaji selidik kepada peserta. Pada tahun lalu, hasil daripada tinjauan tersebut kami dapati sembilan daripada 10 ibu muda menghidap kemurungan.
“Ini disebabkan ramai dalam kalangan ibu muda mendapat tekanan terutama daripada segi kos sara hidup atau mengimbangi kerjaya antara seorang ibu dan isteri.
“Kadang-kadang ibu muda ini, mereka tidak tahu untuk meluah kepada siapa. Jadi di LPPKN, kita sediakan perkhidmatan kaunseling untuk mereka mengadu masalah kepada kaunselor,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Ibu Peringkat Kelantan Tahun 2025, di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota Pengkalan Chepa, di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan penghargaan Khas Inspirasi Ibu kepada Pensyarah Universiti Terengganu, Profesor Dr Wan Iryani Wan Ismail.
Hadir sama Exco Kebajikan, Pembangunan Keluaarga dan wanita, Rohani Ibrahim, Ahli Dewan Undan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim, Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Profesor Dr Mohammad Ismail.
IMedikel TV






