Home Luar Negara TARIF AS: BUKAN IPHONE, TELEFON BIMBIT SAMSUNG PUN MUNGKIN KENA 25 PERATUS

TARIF AS: BUKAN IPHONE, TELEFON BIMBIT SAMSUNG PUN MUNGKIN KENA 25 PERATUS

412
0

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mengancam untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas Apple serta semua pengeluar telefon pintar lain sekiranya produk itu tidak dihasilkan di AS.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, pada awalnya, Trump menyasarkan Apple sahaja dalam kenyataan yang dibuatnya pada Jumaat lalu, satu tindakan luar biasa apabila hanya satu syarikat dijadikan sasaran dalam dasar perdagangan.

Namun, beliau kemudian memperluaskan ancaman itu kepada semua pengeluar telefon pintar.

“Ia akan membabitkan Samsung dan mana-mana pihak yang menghasilkan produk sama. Kalau tidak, ia akan jadi tidak adil,” kata Trump kepada media di Washington sambil menambah tarif baharu itu dijangka berkuat kuasa hujung Jun ini.

Walaupun Apple mereka bentuk produknya di AS, sebahagian besar peranti iPhone dipasang di China iaitu negara yang kini masih terperangkap dalam perang perdagangan dengan AS.

Apple sebelum ini memaklumkan rancangan untuk memindahkan sebahagian pengeluaran ke negara lain termasuk India, namun Trump tetap tidak berpuas hati.

Menerusi catatan di platform Truth Social, Trump menegaskan sudah lama memaklumkan kepada Tim Cook daripada Apple bahawa beliau mahu iPhone yang dijual di AS dihasilkan di dalam negara, bukan di India atau tempat lain.

“Kalau tidak, tarif sekurang-kurangnya 25 peratus perlu dibayar oleh Apple kepada AS,” katanya lagi.

Kenyataan Trump itu turut mengulangi gesaan yang dibuat semasa lawatannya ke Qatar minggu lalu apabila beliau mendesak Apple memindahkan operasi pemasangan iPhone ke AS.

“Saya ada sedikit masalah dengan Tim Cook,” katanya pada 15 Mei lalu sambil menceritakan perbualannya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Apple itu dengan memberitahu: “Kami tak berminat awak bina di India… kami mahu awak bina di sini dan tingkatkan pengeluaran di AS.”

Sementara itu, pesaing utama Apple, Samsung dari Korea Selatan turut berada dalam kedudukan sama apabila kebanyakan pengeluarannya adalah di Vietnam, China dan India. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here