Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Seorang wanita warga emas maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah perigi dalam kejadian di Kampung Lumpur, Alor Pasir, di sini, tengah hari tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Zain Abu Hassan, berkata mangsa dikenali sebagai Hasmah Husin, 79 tahun, disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejurus selepas berjaya dikeluarkan orang awam.
Menurut Mohd Zain pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12:35 tengah hari melalui sistem MERS999, memaklumkan terdapat kejadian seorang mangsa jatuh ke dalam perigi.
”Enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu digerakkan serta-merta ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 30 kilometer, dan tiba di lokasi kira-kira jam 1.17 tengah hari.
”Setibanya di lokasi, Komander Operasi melaporkan bahawa insiden tersebut telah disahkan benar dan mangsa telah pun dikeluarkan, bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian”katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.30 tengah hari.
IMedikel TV






