KOTA BHARU: Walaupun ramai dalam kalangan masyarakat kita lebih tertumpu kepada teknologi terkini, namun Syarikat jualan buku Big Bad Wolf Sdn Bhd mengambil inisiatif untuk mengadakan Jualan Buku Terbesar Di Dunia bermula 29 Mei hingga 9 Jun depan dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Pegawai Perhubungan Awam Big Bad Wolf Sdn Bhd, Geetha Nair, berkata terdapat satu juta buah buku akan dijual menerusi jualan tersebut yang diadakan di tingkat dua pasaraya Mydin Mall Tunjong, di sini.
”Kita tahu ramai masyarakat kita sekarang yang menggunakan gajet dan tidak tertumpu kepada buku fizikal.
”Disebabkan itu kami mengambil inisiatif ini untuk mengembalikan budaya membaca seawal usia dari bayi.
”Kita alihkan sedikit penggunaan gajet, kita hendak masyarakat kembali membaca buku kerana terdapat banyak manfaat apabila kita memilih buku,”katanya kepada pemberita selepas Majlis Pratonton Media Eksklusif di Perpustakaan Awam Negeri Kelantan, di sini, hari ini.
Menurut Geetha jualan tersebut adalah kali ketiga diadakan di Kelantan dan merangkumi buku berbahasa Inggeris daripada penerbit tempatan dan luar negara.
”Kita mengambil peluang untuk memupuk minat membaca bukan sahaja kepada mereka yang suka membaca, malah kita tertumpu juga kepada mereka yang tidak pernah membeli buku.
”Mereka boleh mendapatkan buku dari serendah RM3 untuk jualan nanti.
”Buku tersebut bukan sahaja daripada penerbit tempatan malah terdapat juga penerbit terkenal luar negara, dan kita adakan jualan buku untuk pelbagai genre,”katanya.
Jelasnya, anak-anak perlu mendalami Bahasa Inggeris sejak dari kecil dan pihaknya menawarkan buku kalis air untuk bayi baru lahir.
Katanya terdapat kira-kira 70 peratus buku berkenaan kanak-kanak untuk jualan tersebut.
”Antara buku kanak-kanak yang paling laris ialah ”Seven Wonders of the Modern World” dan Questions and Anwers about Plastic.
“Buku-buku tersebut sesuai untuk kanak-kanak kerana sangat interaktif dan boleh menarik minat mereka untuk membaca.
“Manakala terdapat tiga buah buku paling laris untuk peringkat dewasa yang boleh dibaca iaitu ‘Joy At Work’, ‘Atomic Habits’ dan ‘Beyond The Story’ (K-Pop).
Menurut Geetha jualan tersebut adalah kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan.