Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan isteri hingga parah dalam kejadian di Kampung Teluk Kemunting, Bachok, pada 15 Mei lalu.
Tertuduh, Azwanazri Mat Riffin, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka pada bahagian dahi kiri dan hidung ke atas isterinya berusia 33 tahun di sebuah rumah di Kampung Teluk Kemunting, Tawang, Bachok, pada jam 10 malam, 15 Mei lalu.
Azwanazri didakwa melakukan kesalahan itu yang boleh dihukum mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Seksyen 325 memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu Ahmad Faiz Fitri tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh mengaku bersalah.
Azwanazri ditahan reman sehingga tarikh sebutan semula kes pada 23 Jun depan.
IMedikel TV






