HANOI: Seorang ratu cantik dan pempengaruh popular di Vietnam ditahan atas tuduhan penipuan mempromosikan gula-gula getah (gummies) yang didakwa kaya dengan serat melalui saluran media sosialnya, lapor akhbar Public Security.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, polis kelmarin memaklumkan, Nguyen Thuc Thuy Tien sebenarnya sedar kandungan serat dalam gula-gula itu sangat rendah, hanya 0.935 peratus sahaja.
Bekas pemenang pertandingan ratu cantik Miss Grand International yang berpusat di Thailand itu adalah figura terkenal di Vietnam dan pernah menerima sijil penghargaan daripada Perdana Menteri.
Tien mempromosikan produk Kera Supergreens Gummies bersama dua lagi pempengaruh media sosial, Pham Quang Linh dan Hang Du Muc.
Menurut siasatan, produk itu hasil kerjasama perniagaan antara Tien dengan syarikat yang ditubuhkan oleh kedua-dua pempengaruh berkenaan.
Pada Disember tahun lalu, mereka bertiga memasarkan gula-gula itu sebagai makanan sihat yang kononnya mengandungi jumlah serat sayur-sayuran yang setara dengan sepiring sayur bagi setiap satu gummy itu.
Bagaimanapun, siasatan mendapati gummies itu mengandungi 35 peratus sorbitol, pemanis tiruan yang mempunyai kesan julap, di samping bahan tambahan lain yang tidak didedahkan.
Pihak berkuasa menyatakan lebih 135,000 pek sudah dijual kepada kira-kira 30,000 pelanggan dengan nilai hampir 18 bilion dong (kira-kira RM2.96 juta), manakala Tien menerima komisen sekitar tujuh bilion dong (kira-kira RM1.15 juta).
Tien mula terkenal di Vietnam selepas memenangi pertandingan ratu cantik di Bangkok pada 2021 dan menerima beberapa tawaran pengiklanan jenama ternama. Pada Mac lalu, dia menjadi selebriti Vietnam pertama yang dilantik sebagai Dior’s Friend of the House. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






