Home Sukan NKETIAH LEDAK DUA GOL BANTU PALACE BENAM WOLVES

NKETIAH LEDAK DUA GOL BANTU PALACE BENAM WOLVES

283
0

LONDON: Eddie Nketiah menjaringkan dua gol ketika Crystal Palace menewaskan Wolverhampton Wanderers 4-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris – pada malam tuan rumah berpesta meraikan kejuaraan Piala FA.

Perlawanan terakhir Palace di laman sendiri musim ini hadir selepas tiga hari mereka menewaskan Manchester City di Wembley untuk menjulang trofi major pertama dalam sejarah kelab selatan London itu, dan tiga mata liga memeriahkan lagi suasana di Selhurst Park.

Bagaimanapun mereka terlebih dahulu dikejutkan dengan tandukan minit ke-24 Emmanuel Agbadou yang meletakkan Wolves di depan, tetapi Nketiah menemui sasaran dua kali dalam tempoh lima minit sebelum rehat.

Sepakan percuma Ben Chilwell terkena kepada Agbadou untuk menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-50 dan Wolves kembali merapatkan jurang menerusi tandukan Jorgen Strand Larsen.

Palace – yang melakukan enam pertukaran ke atas skuad yang menewaskan City – memasukkan wira final Piala FA, Eberechi Eze pada minit ke-81 dan dia melengkapkan kemenangan 4-2 buat pasukan di tangga ke-12 liga itu.

Skuad kendalian Oliver Glasner mengumpul 52 mata, tertinggi dikutip Palace dalam kempen Liga Perdana Inggeris dan mereka akan menamatkan saingan musim ini di laman juara liga, Liverpool pada Ahad.

“Kami gembira dan ia hari yang cukup besar buat kami. Pengurus mahu kami meneruskan rentak dan meraikan kejayaan. Semua orang bersemangat dan kami meraih kemenangan.

“Hubungan jitu antara peminat dan pemain cukup menakjubkan dan ia pasti hebat untuk mengalami malam Eropah di sini,” kata Nketiah.

Ia juga menjadi malam bersejarah buat pertahanan Palace, Joel Ward yang memakai lilitan kapten pada penampilan ke-364 untuk kelab dan yang terakhir selepas 13 tahun di Selhurst Park.

“Cara terbaik untuk meninggalkan kelab. Saya tidak mampu menulis cerita dan penamat lebih baik daripada ini,” kata Ward, 35.

Kejuaraan Piala FA memberikan laluan buat Palace untuk beraksi di Liga Europa tahun depan. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here