Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Dua suspek lelaki yang disyaki terbabit dalam kes samun direman empat hari bermula hari ini hingga jumaat di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Amin Rashidi Ramli bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, media melaporkan polis menyelesaikan kes samun membabitkan enam kedai serbaneka di sekitar Kota Bharu dan satu kes cubaan samun dalam tempoh kurang 72 jam, selepas menahan dua suspek di Jalan Sultanah Zainab semalam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata dua lelaki berumur dalam lingkungan 20-an itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Cawangan D9 lbu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bersama anggota Balai Polis Kota Bharu kira-kira 6.45 pagi.
Menurutnya hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam kes samun di enam premis 7-Eleven di Pengkalan Chepa serta Kota Bharu, dan mereka juga didapati sedang merancang untuk melakukan samun di sebuah lagi kedai serbaneka 7-Eleven di Jalan Sultan Ibrahim pada 6 pagi semalam.
Turut dirampas, sepucuk pistol tiruan Walther P99, dua motosikal dan beberapa barangan peribadi yang dipercayai digunakan semasa menyamun.
IMedikel TV






