Home Hiburan ‘PELUANG TAMPIL KELAINAN’

‘PELUANG TAMPIL KELAINAN’

Kumpulan Dolla bersyukur apabila diberi peluang beraksi di pentas Latihan Pestapora bersama barisan artis popular dari Indonesia yang akan berlangsung pada 26 Julai ini di Sunway Lagoon Surf Beach, Petaling Jaya.

Kunto Aji, Pamungkas, Barasuara x Efek Rumah Kaca, Feel Koplo, Feast dan Hindia adalah artis popular dari Indonesia yang bakal berkongsi pentas dengan mereka.

Menurut laporan Harian Metro, artis tempatan seperti Bunkface, SonaOne, SalamMusik, Bittersweet dan ramai lagi turut membuat persembahan.

Dolla yang dianggotai Sabronzo, Tabby dan Angel bersyukur dan terharu kerana diberi peluang bekerjasama dengan Pestapora sekali gus menyertai festival muzik Indonesia buat pertama kali.

Sabronzo berkata mereka berharap peluang ini dapat menarik peminat baru dari Indonesia.

Menurut Angel, penyertaan Dolla di Pestapora adalah langkah penting untuk merealisasikan impian mereka menembusi pasaran antarabangsa.

“Kami tidak teragak-agak untuk menerima pelawaan menyertai Pestapora. Ini adalah peluang yang kami nantikan sekian lama.

“Bekerjasama dengan Indonesia adalah sebahagian daripada impian kami untuk melangkah ke peringkat antarabangsa dan membawa Dolla lebih jauh ke mata dunia,” katanya.

Pada masa sama Tabby berharap dapat memperluaskan pengaruh mereka ke Indonesia selepas kejayaan konsert di Singapura.

“Sekarang kami sudah berjaya membawa konsert ke Singapura. Siapa tahu, mungkin selepas ini kami berpeluang menembusi pasaran Indonesia pula,” katanya.

Sabronzo berkata, Dolla yakin dapat menonjol di Pestapora dengan gaya tersendiri sambil mengekalkan identiti unik mereka.

“Dolla sentiasa berusaha untuk menyuntik kelainan dalam setiap persembahan kami. Pada masa sama, kami sedar barisan artis lain dalam line-up Pestapora turut memiliki identiti unik mereka tersendiri.

“Saya rasa Dolla membawa sesuatu yang agak berbeza, jadi kami akan tampil dengan sentuhan tersendiri dalam memberi kelainan, namun tetap mengekalkan identiti ‘hype’ yang menjadi ‘signature’ bunyi Dolla,” katanya. -HMetro Online-

IMEDIKEL TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here