Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TANAH MERAH: Taktik seorang wanita warga Thailand yang menyamar sebagai pengguna tempatan dengan memandu kereta mewah untuk menyeludup petrol bersubsidi ke negara jiran gagal apabila ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan pada Selasa lalu.
Menurut Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, wanita berusia 52 tahun itu ditahan dalam operasi rondaan dan pemeriksaan statik yang dijalankan sekitar jam 3.30 petang berhampiran sebuah pasar raya di Bukit Bunga.
“Menyedari kehadiran anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan rondaan dan pemeriksaan di kawasan terbabit, suspek yang memandu Toyota Camry bernombor pendaftaran tempatan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, namun berjaya ditahan.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek adalah warga Thailand yang dipercayai cuba membawa keluar petrol bersubsidi ke sempadan Thailand.
“Suspek turut mengaku sudah mengisi petrol sebanyak dua kali dalam sehari, dengan jumlah anggaran 97 liter pada pengisian pertama dan 20 liter pada pengisian kedua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Azman, modus operandi wanita itu adalah dengan mengisi petrol di stesen tempatan dan kemudian menjualnya secara borong kepada ejen di sempadan, sebelum ia dijual semula secara runcit di Thailand.
Beliau berkata suspek turut mengaku minyak yang diperoleh akan dijual secara borong kepada ejen tempatan di sempadan Thailand sebelum dijual semula secara runcit di negara jiran tersebut.
“Bertindak atas maklumat dan pengakuan suspek, pihak KPDN menyita kereta tersebut yang diubah suai tangkinya.
“Kami turut merampas kira-kira 45 liter petrol yang masih berada dalam kenderaan tersebut. Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut,”katanya.
Menurut beliau kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, serta Seksyen 10 akta yang sama.
Pihak KPDN menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi. Tindakan tegas akan diambil.
IMedikel TV






