Home Buletin Semasa NANTA LINGGI TINJAU PROJEK INFRASTRUKTUR DI PERLIS

NANTA LINGGI TINJAU PROJEK INFRASTRUKTUR DI PERLIS

218
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan komited dalam usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat di Perlis.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata beliau turun padang meninjau pelaksanaan beberapa projek utama di negeri itu, termasuk jalan raya, jambatan dan kemudahan pendidikan.

“Lawatan kerja saya ke Perlis ini adalah sebahagian daripada program #MADANIBekerja, saya sempat meluangkan masa untuk dari Arau ke Padang Besar dan Kangar.

“Saya memulakan tinjauan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam bagi melihat perkembangan pelaksanaan projek infrastruktur di sana sebelum meneruskan tinjauan ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk melihat kemajuan tiga projek utama yang sedang giat dibangunkan,”katanya dalam kenyataan semalam.

Antara projek yang menjadi tumpuan ialah Pembinaan Masjid dan Pusat Islam UniMAP bernilai RM32.68 juta yang kini telah siap 58.37 peratus, dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2025.

Turut dilawati, projek pembinaan Dewan Besar UniMAP bernilai RM12.6 juta yang kini mencapai 80 peratus kemajuan. Dewan tersebut bakal menggantikan fasiliti luar dan menjimatkan kos sewaan tahunan universiti melebihi RM1 juta dan dijangka siap pada Julai 2025.

Manakala Pusat Pengajian Kejuruteraan UniMAP yang dibangunkan dengan kos lebih RM71 juta, kini dalam fasa awal dengan kemajuan lebih 30 peratus dan dijangka siap pada Oktober 2026.

Beliau turut meninjau projek jalan raya sepanjang 3 kilometer dari Kampung Chuping ke Kampung Guar Musang dan Panggas Besar, yang kini hampir siap dengan kemajuan 91.96 peratus.

“Projek bernilai RM44 juta itu dijangka siap pada Julai tahun ini dan dijangka meningkatkan mobiliti penduduk setempat.

“Kerajaan MADANI komited untuk mempercepat pembangunan infrastruktur di seluruh negara, agar tiada kawasan yang tertinggal, sejajar dengan slogan Komited Demi Kesejahteraan Rakyat,”katanya.

Lawatan itu mencerminkan komitmen Kementerian Kerja Raya dalam menjayakan Aspirasi Program MYJalan, dan memastikan projek infrastruktur disiapkan mengikut jadual serta spesifikasi yang ditetapkan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here