Home Segmen Kesihatan SOCIAL WITHDRAWAL: BILA TUBUH DAN JIWA MINTA DIREHATKAN

SOCIAL WITHDRAWAL: BILA TUBUH DAN JIWA MINTA DIREHATKAN

722
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

Mungkin ramai dalam kalangan kita tidak sedar akan perubahan diri. Ini mungkin disebabkan beberapa faktor yang membuatkan mereka memilih untuk mengasingkan diri berbanding sebelum ini yang agak peramah.

Adakah anda perasan ada dalam kalangan teman atau ahli keluarga yang dulunya seorang yang sangat bermotivasi, kini menyepikan diri? Pernahkah anda sendiri mengalami situasi seperi ini?

Dalam satu perkongsian Public Health Malaysia di laman rasmi Facebook, mereka menyentuh tentang perubahan perlahan yang sering berlaku dalam diam.

Dulu, dialah orang yang paling bersemangat.
Dialah yang merancang, mengatur, mengajak semua orang berkumpul.
Tenaganya seperti tidak pernah habis.
Tapi satu hari, selepas melalui satu episod getir — yang tidak pernah diceritakan kepada sesiapa — dia perlahan-lahan menarik handbrake.
Dia mula menjarakkan diri.

Bila tidak dijemput, dia tidak lagi bertanya.
Bila dijemput, dia tetap memilih untuk tidak hadir.
Bukan kerana membenci.
Bukan kerana sombong.
Tetapi kerana ada sesuatu dalam dirinya yang telah berubah.

Kadang-kadang, bila hati terlalu penat, dunia luar terasa terlalu bising.Dan keheningan itu lebih menyembuhkan daripada seribu kata.

Dari sudut kesihatan, social withdrawal ini sebenarnya adalah salah satu tanda awal bahawa tubuh dan jiwa sedang memberi isyarat.

Ia mungkin berpunca daripada tekanan mental (stress), kemurungan (depression), kebimbangan melampau (anxiety disorders), atau keletihan emosi (emotional burnout).

Malah, dalam beberapa kes, simptom fizikal seperti sakit badan, gangguan tidur, sakit kepala berpanjangan atau masalah perut juga boleh muncul tanpa kita sedar ianya berkait rapat dengan kesihatan mental yang terganggu.

Social withdrawal bukan bermaksud seseorang malas atau tidak mahu bersosial semata-mata. Ia adalah mekanisme pertahanan diri iaitu satu usaha untuk melindungi diri daripada ‘terbakar’ sepenuhnya.

Tubuh dan jiwa sebenarnya meminta dua perkara penting iaitu rehat dan pemulihan.

Sebagai sahabat, keluarga, atau masyarakat, kita harus lebih peka. Kadangkala, apa yang seseorang perlukan bukanlah dorongan untuk “kuat” atau “positif” semata-mata, tetapi sokongan dalam bentuk ruang, sabar, dan memahami perjuangan senyap mereka.

Kalau anda perasan orang sekeliling berubah begini, apa yang perlu dilakukan adalah menghulurkan perhatian, jangan terus menghukum mereka.

Dan kalau anda sendiri merasa penat begini, perlu cari bantuan sokongan. Berkongsilah dengan orang yang boleh dipercayai, atau dapatkan sokongan professional sama ada pakar perubatan atau kaunselor.

Kerana dalam kesihatan, pemulihan bukanlah satu kelemahan. Ia adalah langkah pertama untuk kembali kuat untuk menjalani kehidupan akan datang.

IMedikel TV



LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here