Home Buletin Semasa LGM PERTINGKAT KAWAL SELIA SEKTOR SARUNG TANGAN GETAH DI PASARAN ANTARABANGSA

LGM PERTINGKAT KAWAL SELIA SEKTOR SARUNG TANGAN GETAH DI PASARAN ANTARABANGSA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) komited untuk memastikan industri getah negara kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa.

Menurut kenyataan Malaysia antara pengeluar dan pengeksport utama getah dan produk berasaskan getah, dengan nilai eksport mencecah RM 33.7 billion pada tahun 2024.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM 15.41 bilion atau 45.8 peratus disumbangkan oleh sektor sarung tangan getah sahaja,”menurut kenyataan itu.

Selaras dengan sumbangan signifikan sektor sarung tangan getah kepada ekonomi negara, LGM melaksanakan beberapa inisiatif strategik bagi memperkukuh kawal selia industri dalam menghadapi isu-isu dan cabaran semasa perdagangan global.

“Antara inisiatif tersebut adalah dengan memperketatkan syarat pelesenan bagi aktiviti eksport sarung tangan getah melalui Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014.

“Berkuat kuasa serta merta, semua syarikat pengeksport sarung tangan getah yang berlesen dengan LGM hanya dibenarkan mengeksport sarung tangan getah yang diperoleh daripada sumber kilang pembuatan tempatan sahaja.

“Langkah ini diambil bagi menjamin kualiti produk dan kemampanan industri sarung tangan getah negara. Selain itu, ia sebagai langkah pencegahan terhadap risiko Malaysia menjadi destinasi pengalihan perdagangan (trade diversion) dari negara lain.

“Ini juga susulan perkembangan global yang memperlihatkan ketidaktentuan dalam landskap perdagangan antarabangsa, termasuk perubahan dasar-dasar pasaran utama dunia yang memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan dan pasaran eksport produk getah. Keadaan ini berpotensi menyebabkan peningkatan import sarung tangan getah yang boleh menjejaskan daya saing industri getah domestik,”menurut kenyataan.

Di samping itu, LGM juga giat menjalankan Operasi Bersepadu bersama agensiagensi penguatkuasaan yang lain bagi memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan dalam sektor sarung tangan getah demi menjaga imej dan daya saing industri getah negara.

Kementerian dan LGM akan terus memantau secara dekat perkembangan semasa perdagangan dunia dan sentiasa bersiap siaga untuk melaksanakan langkah-langkah proaktif dalam melindungi kepentingan keseluruhan industri getah negara, termasuk semua produk getah.

“Dalam jangka masa terdekat, Kementerian juga akan meneliti pendekatan jangka panjang yang bersesuaian dengan perubahan landskap geopolitik dan ekonomi global, demi memastikan daya tahan dan kebolehpasaran industri getah Malaysia terus dipertahankan,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here