KUALA LUMPUR: Pengarah filem 6 Jilake, Aziz M Osman menyangkal dakwaan menyindir pihak tertentu apabila menghasilkan karya mengenai perbuatan khianat kepada tanah air dan menjadi tali barut penjajah.
Memetik laporan Berita Harian, sebaliknya, Aziz menjelaskan, naskhah sentuhannya itu adalah paparan realiti kehidupan berlaku hari ini, kemudiannya digarap dalam bentuk filem komedi aksi.
“Saya tiada niat nak sindir sesiapa. Sebaliknya, saya hanya utamakan elemen hiburan dalam filem ini.
“Apa yang ingin saya paparkan hanyalah kisah mengenai perkara yang berlaku di sekeliling. Saya tiada niat langsung nak sentuh atau sindir sesiapa.
“Namun begitu, saya berani katakan filem ini mencerminkan realiti zaman sekarang,” katanya pada sidang media tayangan perdana filem 6 Jilake di ibu negara, semalam.
Tambah pengarah filem XX Ray itu, alur cerita berkisar mengenai penjajahan Belanda di Perak dan dalam masa sama, mencuri hasil bumi penduduk tempatan juga dilihat bersesuaian dengan senario politik hari ini.
“Saya serahkan sepenuhnya kepada penonton untuk menilai dan mentafsir sama ada mereka ingin mengaitkannya dengan politik atau apa-apa sahaja.
“Ironinya, ketika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan hasrat menjadikan Gaza sebagai bandar, saya terus menghubungi penerbit, Dr Shasa Aziz dan berkata, ‘ini seperti skrip kita’.
“Tiada sebarang niat tersirat dan semua yang berlaku adalah satu kebetulan,” jelas Aziz.
Filem terbitan Eartistic Entertainment dengan kerjasama Primeworks Studio itu dibintangi barisan pelakon hebat seperti Amerul Affendi, Saiful Apek, Bell Ngasri, Asmidar, Kazar Saizi, Kamarool Yusof, Jalil Hamid, Wan Raja, Mamak Puteh, Wan Gegau dan ramai lagi.
Ia bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 24 April ini. – BH Online –
IMedikel TV






