Home Buletin Semasa MCMC BUKA EMPAT KERTAS SIASATAN BERKAITAN ISU 3R, PEMPENGARUH POLITIK TERLIBAT

MCMC BUKA EMPAT KERTAS SIASATAN BERKAITAN ISU 3R, PEMPENGARUH POLITIK TERLIBAT

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

CYBERJAYA:  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka empat kertas siasatan terhadap dua individu yang didapati memuat naik kandungan palsu dan jelik melampau berunsur 3R (perkauman, agama, dan Institusi Diraja) di sosial media.

MCMC dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, percakapan terhadap mereka semalam sudah dirakam di Ibu Pejabat MCMC, di sini bagi membantu siasatan.

“Salah seorang daripada dua individu terbabit merupakan pempengaruh politik yang menimbulkan sentimen perkauman di platform Facebook dan TikTok.

“Sentimen perkauman itu melibatkan lagu kebesaran Negeri Perak, penguasaan ekonomi orang Melayu menerusi pemecahan monopoli Petronas dan Gas Malaysia Berhad serta tentang pengambilalihan Menara Kuala Lumpur,” jelas kenyataan itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sebanyak dua unit telefon bimbit dan satu kad sim milik kedua-dua suspek disita.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan platform media sosial dengan penuh tanggungjawab serta berhemah, dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama di negara ini,” jelasnya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here