Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Lebih 200,00 pesawah di seluruh negara bakal menerima agihan wang ihsan sebanyak RM30 juta menjelang pertengahan bulan ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, bagaimanapun proses pengeluaran dana bagi pengagihan itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Proses ini mengambil sedikit masa kerana perlu mematuhi peraturan kewangan serta tatacara dalaman syarikat.
“Selain itu kita juga perlu mematuhi piawaian pengurusan kewangan dalaman selain mendapat kelulusan pihak pengurusan tertinggi syarikat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, sumbangan tersebut akan disalurkan setelah semua keperluan pematuhan selesai seiring dengan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan yang diamalkan oleh syarikat kerana melibatkan dana berskala besar.
Jelasnya, dana sebanyak RM30 juta itu telah diterima sepenuhnya daripada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) pada 28 Mac lalu.
Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) amat memahami kegusaran serta harapan tinggi pesawah, dan akan memastikan bantuan itu sampai kepada semua yang berhak.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 13 Februari lalu mengumumkan BERNAS bersetuju menyalurkan peruntukan RM30 juta bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.
IMedikel TV






