Home Buletin Semasa SIAPA SANGKA POKOK KELAPA RENEK DAPAT HASILKAN AIR TUAK

SIAPA SANGKA POKOK KELAPA RENEK DAPAT HASILKAN AIR TUAK

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Sinonim dengan puasa, air tuak adalah antara minuman pilihan sepanjang bulan puasa terutamanya di negeri ini.

Begitu juga buat seorang pesara kerajaan, Azman Min, 57, puasa tahun ini membawa kelainan buatnya apabila dua batang pokok kelapa yang ditanam sejak lima tahun lalu sudah dapat menghasilkan air tuak atau nira kelapa.

Azman yang dikenali sebagai Abe Man yang tinggal di Kampung Seneng, Jelawat di sini, ketika ditemui berkata, dia tidak sangka walaupun pokok kelapa itu renek tetapi dapat menghasilkan air tuak dengan rasanya yang manis dan memuaskan.

“Pokok kelapa itu renek dan kecil sahaja, jadi kerja memotong mayang kelapa sangat mudah, kerana saya tidak perlu memanjat pokok itu.

“Buat masa sekarang ini, saya sedang membiasakan pokok itu untuk keluarkan air tuak dalam kuantiti yang banyak kerana ia masih kecil dan kadang-kadang saya risau ia tidak menjadi,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Azman berkata, meskipun air tuak yang dihasilkan hanya dua botol dalam sehari, tetapi dia tetap berpuas hati kerana hasil penjagaan pokok itu akhirnya membuahkan hasil.

Katanya, dia mula mayang kelapa itu sejak bulan Ramadan tahun lalu kerana sebelum ini dia memilih untuk membeli air tuak di kedai.

Namun tahun ini dia memilih untuk menghasilkan air tuak sendiri memandangkan dia mempunyai pokok kelapa yang mampu mengeluarkan air tuak.

Azman yang sebelum ini bersara pada Mac 2024 berkata, rutin harian sepanjang bulan puasa adalah memungut botol mengandungi air tuak sebanyak dua kali sehari iaitu pada sebelah pagi dan petang.

“Proses pengeluaran air tuak itu mengambil masa selama 10 jam kerana air itu menitis sangat perlahan.

“Apabila sudah penuh, biasanya saya akan mengambil air tuak daripada pokok itu pada jam 8 pagi, manakala pada sebelah petang dilakukan pada jam 6 petang.

“Air tuak itu akan ditapis untuk mengasingkan habuk mayang kelapa sebelum diminum atau diberi pada orang lain,” katanya.

Bagaimanapun, air tuak yang dihasilkan hanya untuk kegunaan mereka sekeluarga sahaja, namun terdapat beberapa penduduk kampung datang untuk membeli air tuak tersebut tetapi dia hanya memberikannya secara percuma dengan niat sedekah di bulan puasa.

“Sebenarnya tidak berbaloi untuk dijual kerana saya hanya boleh kumpulkan sebanyak dua botol sahaja dalam sehari, jadi sebotol untuk keluarga, sebotol lagi kalau ada orang meminta, saya niat sedekah sahaja,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here