Home Buletin Semasa STATUS KUALITI UDARA DI BALOK BARU KUANTAN TIDAK SIHAT

STATUS KUALITI UDARA DI BALOK BARU KUANTAN TIDAK SIHAT

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PAHANG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan status kualiti udara di Balok Baru, Kuantan di sini, adalah pada tahap sangat tidak sihat dengan Indeks Pencemar Udara (IPU) 250, setakat jam 4 petang, semalam.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam suatu kenyataan berkata keadaan ini disebabkan kebakaran tanah gambut di Ladang Kelapa Cherating, Kuantan.

Katanya, JAS turut merekodkan 30 kawasan yang berada dalam keadaan kualiti udara yang baik manakala 37 kawasan pada tahap sederhana.

“Tindakan pemantauan bacaan IPU sentiasa dilaksanakan dari masa ke semasa melalui darat dan udara menggunakan drone.

“Sekiranya berlaku kebakaran, kerja-kerja pemadaman dan kawalan kebakaran sudah bersedia bersama agensi berkaitan,” katanya menerusi kenyataan tersebut, semalam.

Jelasnya, susulan status bacaan IPU mencecah 201 hingga 300, pihaknya mengeluarkan Nota Pemberitahuan Amaran 3A dan 3B kepada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC).

“Pihak NDCC akan melaksanakan notis kesiapsiagaan operasi bencana ke peringkat negeri dan daerah terbabit bagi mengaktifkan jawatankuasa pengurusan bencana dan bertindak balas mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) menerusi Peta Jerebu Serantau mencatatkan cuaca mendung di rantau ASEAN melibatkan beberapa bahagian kecuali Semenanjung Malaysia dan utara Sumatera.

“Semenanjung Malaysia dan tengah Sumatera merupakan kawasan titik panas yang dikesan dan sentiasa diperhati memandangkan berlaku kepulan asap setempat yang berpunca daripada titik panas di kawasan pantai timur,” katanya.

Tambahnya, JAS menggesa kesemua pemilik tanah supaya memantau secara rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.

Ujarnya, mereka perlu mengetahui langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

“Saya nasihatkan kepada orang ramai untuk merujuk bacaan IPU terkini setiap jam di laman web JAS di alamat url, http://apims.goe.gov.my/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyIPU di ‘Google Play’.

“Bagi mendapatkan nasihat kesihatan berkenaan langkah-langkah pencegahan semasa jerebu, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (www.moh.gov.my),” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here