Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang buruh binaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, semalam atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun dengan meliwat mangsa.

Mohamad Aiman Afham Zainal A’abidin, 21 tahun didakwa di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja terbabit di kawasan hutan di Mengkebang, Kuala Krai pada jam 7.30 malam, 9 Januari lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum bawah akta sama.
Bagi kesalahan terbabit, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat jika disabitkan kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminannya dikurangkan.
Zulkifli membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan 10 Mac depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
IMedikel TV






