Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Epilepsi? Apa itu epilepsi? Menurut sumber Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), epilepsi yang juga dikenali sebagai penyakit sawan, adalah penyakit yang menjejaskan sistem saraf pusat.
Namun menurut portal hellodoktor ramai yang salah anggap akan penyakit ini. Dari sudut perubatan, penyakit epilepsi atau sawan tidak boleh disembuhkan.
Setakat ini, tiada rawatan moden mahupun tradisional yang terbukti berkesan menghilangkan penyakit tersebut.
Walau bagaimanapun dengan kemajuan teknologi perubatan dan ilmu berkaitan dengannya, punca masalah ini boleh dikesan dan langkah pencegahan boleh diambil.
KKM berkongsi di laman sosialnya supaya individu mengambil langkah berjaga-jaga iaitu dengan mengenalpasti epilepsi. Epilepsi boleh dikawal melalui rawatan yang bersesuaian.

Epilepsi berlaku kerana gangguan aktiviti elektrik pada sel-sel saraf dalam otak di mana isyarat yang dihasilkan menjadi tidak terkawal.
Selain itu, aktiviti sel saraf yang tidak normal ini boleh menjejaskan fungsi otak yang mengawal tubuh badan kita, menyebabkan kekejangan otot, hilang kesedaran atau menunjukkan tingkah laku yang pelik.
Lebih teruk lagi jika mereka mengalami simptom sawan berseorangan.

Antara punca paling lazim yang sering diadukan kepada doktor adalah:
- Kurang tidur.
- Jangkitan atau demam.
- Stres.
- Cahaya yang sangat terang.
- Kesan sampingan ubat, alkohol, kafein atau dadah terlarang.
- Melangkaui waktu makan, terlebih makan atau sensitif terhadap produk makanan tertentu.
Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan anda mengalami sawan.

Jadi, anda digalakkan menyimpan jurnal sawan. Butiran yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut:
- Hari dan waktu.
- Aktiviti yang anda sedang lakukan.
- Apa yang sedang berlaku di sekeliling.
- Jika ada terdapat bau, bunyi atau perkara yang luar biasa.
- Segala faktor yang menyebabkan anda stres (jika stres).
- Apa yang anda sedang makan atau bila kali terakhir anda makan.
- Tahap kelesuan dan adakah anda tidur secukupnya.
Antara rawatan yang boleh diberikan kepada pesakit adalah seperti berikut:
- Ubat anti epileptik. Ubat ini direka khas bagi membantu pesakit mengawal simptom penyakit sawan..
- Perangsang saraf vagus. Rawatan ini melibatkan pembedahan minor bagi menempatkan peranti khas untuk merangsang saraf vagus di bawah lapisan kulit dada.
- Amalan pemakanan ketogenik. Tahukah anda, diet tinggi lemak boleh mengawal simptom sawan.
- Pembedahan otak. Sekiranya tiada kaedah berkesan dalam mengawal simptom sawan, dapatkan rujukan daripada pakar untuk penilaian pembedahan. Bergantung kepada jenis epilepsi dan kawasan otak yang terjejas, pesakit boleh jadi sesuai atau tidak menjalani pembedahan tersebut
IMedikel TV






