KUALA LUMPUR: Impian penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search, 66, tampil dengan konsert solo mengimbau perjalanan suka duka sehingga bergelar ‘superstar’, akhirnya termakbul selepas 44 tahun menanti.
Amy Search Magic Konsert Solo Pertama selama dua jam setengah bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 26 April.
“Konsert ini pastinya di luar jangkaan peminat. Namun, saya dan pasukan masih dalam proses perancangan lagi.
“Saya mahu peminat mengingati sampai bila-bila dan terus memperkatakannya biarpun selepas konsert berakhir,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Amy Search Magic Konsert Solo Pertama, di ibu negara, baru-baru ini.
Dalam konsert itu, Amy bakal membuai hati peminat dengan rangkaian lagu daripada album solonya, Magic diterbitkan pada 1994 iaitu selepas lima tahun lagu Isabella muncul hit.
Selepas album Magic, kerjaya solo Amy terus memuncak apabila muncul dengan album solo, Camouflage (1996), Aku Amy (1998) dan Satu Masa (2000) serta projek single.
“Tampil dengan konsert solo bukan bermakna saya memberontak. Anggota Search memberi restu. Mereka tahu ini adalah impian saya. Mereka pernah bertanya mengenai konsert solo, tetapi saya belum bersedia ketika itu.
“Bukan jual mahal, cuma saya nantikan masa sesuai dan pasukan tepat untuk menjayakannya.
“Sebelum ini, saya ada terima beberapa tawaran, tetapi perlu teliti dalam membuat pilihan. Saya mahu mereka yang betul-betul mengikuti kerjaya dan tahu mengenai saya untuk merealisasikan konsert ini,” kata Amy yang terbuka hati selepas bertemu pengarah konsert, Jennifer Thompson, tahun lalu.
Sementara itu, Jennifer berkata, Amy bakal mengungkap segala kisah suka duka dalam konsert.
“Ini adalah perjalanan seni Amy. Bagaimana anak muda yang datang dari Johor Bahru menyanyi di Hard Rock Cafe ‘ciplak’.
“Peminat hanya nampak kejayaan Amy sekarang, tetapi kesusahan dilalui tak ramai tahu. Semua ini akan diceritakan di atas pentas nanti.
“Konsert ini akan menjadi perjalanan yang sangat beremosi untuk Amy dan peminat. Soal siapa penyanyi undangan masih belum diputuskan lagi.
“Kami perlu mengundang artis yang memberi makna dalam perjalanan seni Amy,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






