Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) memainkan peranan penting menyelaraskan Tabung Kasih@HAWANA bagi membantu pengamal media yang diuji dengan masalah kesihatan dan kesempitan hidup mahupun bencana.
Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Nur-ul Afida Kamaludin berkata, pihaknya menyampaikan bantuan menerusi tabung itu bagi meringankan beban mereka.

Katanya selaras dengan itu pihaknya menyampaikan bantuan kepada dua bekas pengamal media yang kini bersara selain 291 pengamal media sudah menerimanya.
“Saya dan rakan-rakan mengiringi menteri Fahmi Fadzil untuk menyampaikan bantuan kepada dua rakan media kita yang telah bersara daripada perkhidmatan tetapi diuji dengan penyakit.
“Kami mengambil peluang untuk menyampaikan bantuan tabung kasih kerana kami faham kos perubatan dan sebagainya agak tinggi untuk ditampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas Editor BERNAMA Zabidi Ishar yang mengalami masalah lemah paru-paru dan jantung bengkak di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian, di sini, semalam.
Nur-ul Afida berkata, tabung tersebut antara inisiatif Kementerian Komunikasi yang diperkenalkan sejak April tahun lalu.
Katanya, tabung tersebut mempunyai kriteria khusus bagi memastikan ia disalur kepada golongan yang benar memerlukan.
“Kita ada kriteria yang telah ditetapkan iaitu mereka yang diuji dengan penyakit-penyakit serius, kronik dan dialisis, sakit jantung dan sebagainya.
“Dan kita perluaskan kepada mereka yang mengalami kesempitan hidup, kita tahu ramai rakan media yang tiada pekerjaan tiada pendapatan tetapi menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Selain itu, jelasnya tabung itu juga membantu pengamal media yang menghadapi kesukaran, terutama mereka yang bertugas secara aktif tetapi tidak menerima gaji.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
IMedikel TV






