Home Sukan SHAIFUL YAKIN KEUPAYAAN SKUAD HOKI WANITA NS

SHAIFUL YAKIN KEUPAYAAN SKUAD HOKI WANITA NS

180
0

SEREMBAN: Pengendali baharu skuad hoki wanita Negeri Sembilan, Shaiful Azli Abd Rahman, tampak yakin dengan kekuatan serta kemampuan skuad terbabit apabila menyasarkan untuk berada dalam kelompok empat terbaik saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 yang akan membuka tirainya, Sabtu ini.

Beliau yang juga bekas pemain kebangsaan menegaskan bahawa usahanya membentuk skuad mantap bagi mengharungi saingan musim ini berjalan lancar walaupun tanpa seorang pemain kebangsaan yang menganggotai skuad berkenaan.

“Kali ini tiada seorang pun pemain kebangsaan berada dalam pasukan ini berbanding ada 12 pemain kebangsaan dalam pasukan 2023.

“Situasi itu tidak menghalang untuk kita membentuk skuad yang mantap dan berwibawa kerana kita mendapat khidmat empat pemain kebangsaan China, yang beraksi di posisi penjaga gol, bahagian pertahanan, tengah dan serangan.

“Mereka bakal dibantu dengan barisan pemain muda dan berpengalaman yang diyakini mampu menggalas cabaran pasukan serta memberi cabaran bermakna terhadap pasukan lain,” katanya di sini, hari ini.

Shaiful Azli sedar tugas mencabar yang terpaksa dipikul terutama dalam mempertahankan reputasi Negeri Sembilan yang pernah merangkul gelaran treble selepas muncul juara Piala Vivian May Soars, Piala Liga dan Piala Sumbangsih pada musim 2023.

“Memang suatu tugas yang mencabar dan sebab itu kita tidak letak sasaran awal yang terlalu tinggi sebaliknya saya mahu memastikan pasukan ini mampu mara ke peringkat separuh akhir terlebih dulu sebelum kita intai kedudukan berikutnya.

“Saya yakin dengan kemampuan barisan pemain ini untuk memberikan persembahan terbaik dan membawa pasukan mencipta kejayaan musim ini,” katanya yang pernah membimbing pasukan Maybank sebelum ini.

Mengulas cabaran pertama menentang QNET Phoenix di Seremban 2, Sabtu ini, Shaiful Azli yakin pasukannya mampu memulakan langkah kanan.

“Atas kertas memang pasukan QNET tampak bagus kerana dibarisi ramai pemain remaja kebangsaan. Kami akan tetap berwaspada dengan strategi mereka dalam misi mendapatkan mata.

“Namun begitu, saya yakin dan percaya dengan kelebihan beraksi di laman sendiri, pemain Negeri Sembilan sudah tentu mahukan kemenangan pertama dicipta, di gelanggang sendiri,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here