Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TUMPAT: Sektor perikanan kerugian kira-kira RM594,032 di beberapa negeri di Pantai Timur membabitkan 829 nelayan akibat bencana alam termasuk banjir, ribut dan hakisan pantai.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Rashima Baharuddin berkata antara negeri tersebut ialah Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Daripada jumlah tersebut, Kelantan merekodkan jumlah paling tinggi iaitu 633 termasuk 291 di jajahan Tumpat.
“Namun, kita masih dalam siasatan untuk mendapatkan data yang tepat berkaitan jumlah kerosakan sebenar yang dihadapi para nelayan,” katanya ketika sidang media Program Skuad Ihsan MADANI dan Penyampaian Bantuan Banjir kepada nelayan di Kompleks LKIM Geting, Persatuan Nelayan Kawasan Tumpat, di sini, hari ini.
Rashima berkata walaupun nelayan tidak dapat turun ke laut ketika musim tengkujuh, namun kerajaan memberikan elaun RM300 sebulan untuk kegunaan mereka sepanjang musim berkenaan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata seramai 53 usahawan dan 16 kakitangan LKIM terjejas akibat banjir
termasuk masing-masing tujuh kakitangan dari Kelantan dan
Terengganu serta dua kakitangan dari Kedah, manakala tiga pejabat LKIM turut terkesan kerana dinaiki air.
Terdahulu, Rashima sempat menyalurkan sebanyak 300 bantuan bakul makanan kepada nelayan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM22,500.
“Usaha ini adalah seiring dengan agenda Malaysia MADANI bagi memastikan tiada komuniti tercicir dalam menerima bantuan ini,” katanya.
Tambah beliau, program tersebut adalah langkah strategik bagi meringankan bebanan nelayan yang menghadapi bencana serta peningkatan kos sara hidup.
IMedikel TV






