Home Hiburan ANZALNA BERI BAYANGAN BERLAKON SEMULA

ANZALNA BERI BAYANGAN BERLAKON SEMULA

KUALA LUMPUR: Selepas enam tahun tidak berlakon, Anzalna Nasir memberi bayangan membuat kemunculan semula di pentas seni, tahun depan.

Bagaimanapun, Anzalna masih berbelah bahagi kerana bimbang meninggalkan dua cahaya mata iaitu Mohamad Eidrees, 5, dan Mohamad Emirhan, 2.

Lama meninggalkan kerjaya lakonan bagi memberi fokus kepada dua anaknya itu, wanita berusia 36 tahun itu mengakui masih menerima tawaran berlakon hingga hari ini.

“Sebelum ini, saya pernah beritahu mahu menunggu anak bersekolah dan pandai bercakap, barulah saya bersedia untuk kembali berlakon.

“Bukan apa, sekiranya terjadi sesuatu kepada mereka, bolehlah mereka mengadu pada saya. Tahun depan Eidrees pun bakal berusia 6 tahun dan Emirhan pun sudah pandai bercakap.

“Keinginan untuk kembali berlakon memang ada, tapi tengoklah tahun depan. Hati saya mudah berbolak balik. Jika berlakon sekali pun, mungkin tidak boleh terima tawaran macam dahulu kerana keutamaan saya adalah pada anak-anak dan suami,” katanya kepada BH Online.

Tambah Anzalna, selain keluarga, dia ingin memberi fokus kepada perniagaan. Malah, dia kini mula berjinak-jinak menjayakan sesi langsung di TikTok menjual produk penjagaan rambut.

Apa yang tidak disangka pelakon drama Memori Cinta Suraya itu apabila kemunculannya di TikTok membuka pintu rezeki apabila dia, suami dan anak-anak dilamar menjadi duta jenama pakaian.

“Saya sebenarnya ‘introvert’ dan tidak pandai gunakan Tiktok serta tidaklah begitu aktif. Tetapi atas nasihat rakan, tidak sangka pula ia membuka pintu rezeki apabila banyak produk lain mengajak saya bekerjasama,” katanya.

Ditanya tidakkah bimbang jika peminat semakin melupakannya, Anzalna tidak risau kerana kewujudan platform media sosial membantu mendekatkannya dengan mereka.

“Saya selalu buat sesi langsung dalam media sosial. Dari situlah saya dapat dekatkan diri dengan peminat.

“Mereka seronok dapat lihat saya kerana rindu tengok saya berlakon. Sekurang-kurangnya apabila tengok sesi langsung, terubat jugalah rindu mereka.

“Ada juga peminat yang ajak saya buat ‘reunion’, tapi saya terpaksa menolak kerana anak-anak saya masih kecil lagi,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here