Home Luar Negara ANAK LELAKI SULUNG PUTERI MAHKOTA NORWAY DISYAKI TERBABIT SATU LAGI KES ROGOL

ANAK LELAKI SULUNG PUTERI MAHKOTA NORWAY DISYAKI TERBABIT SATU LAGI KES ROGOL

152
0

OSLO: Anak lelaki sulung kepada Puteri Mahkota Norway Mette-Marit disyaki merogol kali kedua, dua hari selepas penahanannya atas satu lagi dakwaan serangan seksual, kata polis pada Rabu.

Dilahirkan daripada hubungan sebelum perkahwinan Mette-Marit dengan pewaris Putera Haakon, Marius Borg Hoiby ditangkap pada petang Isnin lalu kerana disyaki merogol.

Menurut laporan media, seorang peguam berkata, polis meminta lelaki berusia 27 tahun itu direman dalam tahanan sejak siasatan menemukan dakwaan kedua selepas diarahkan oleh hakim pada Rabu.

“Marius berdepan tuduhan serius, yang mana polis dan badan kehakiman akan uruskan. Saya yakin mereka akan melakukan tugas dengan baik,” kata Putera Haakon kepada penyiar awam NRK sebelum perintah penahanan.

Peguam Borg Hoiby, Oyvind Bratlien akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan penahanan itu, tetapi mengalu-alukan hakikat bahawa hakim tidak membenarkan permintaan polis untuk penahanan selama dua minggu.

Peguam polis Andreas Kruszewski di luar perbicaraan berkata, dakwaan kedua membabitkan hubungan seksual tanpa persetujuan dengan seorang wanita yang tidak mampu menentang perbuatan itu.

Penyiasat menggeledah dan merampas barang dari rumah Borg Hoiby.

Pertuduhan rogol dibuat selepas Borg Hoiby didakwa melakukan kecederaan badan terhadap seorang wanita yang mempunyai hubungan dengannya dalam satu pergaduhan lewat malam pada 4 Ogos di pangsapuri dekat sini, kata polis.

Media Norway melaporkan, polis menemukan sebilah pisau tersangkut di salah satu dinding bilik tidur wanita itu ketika itu.

Borg Hoiby ditangkap sekali lagi pada bulan September kerana melanggar perintah sekatan.

Menurut polis, ketika ditahan pada Isnin lalu, Borg Hoiby berada di dalam sebuah kereta bersama individu yang dikatakan mangsa kejadian Ogos itu.

Borg Hoiby dibesarkan oleh pasangan diraja bersama adik-beradik tirinya Puteri Ingrid Alexandra, 20, dan Putera Sverre Magnus, 18.

Beliau bagaimanapun tidak memegang sebarang jawatan rasmi. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here