Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Sebelum ini kesihatannya sangat baik dan mampu menjana pendapatan untuk membesarkan tiga orang anaknya semasa menetap di Johor.
Bagaimanapun Norazah Abdullah, 50, dari Kampung Aur China, di sini, kini terlantar akibat kanser pangkal rahim tahap empat.

“Sudah lebih enam bulan saya terlantar disebabkan kanser. Semasa berada di Johor, suami mengabaikan saya.
“Jadi saya mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman sejak empat bulan lalu dan menetap di rumah arwah ibu dan ayah,”katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Norazah mempunyai tujuh orang anak, empat daripadanya berusia 23 hingga 32 tahun hasil perkahwinan pertama, manakala 7 hingga 10 tahun hasil perkahwinan kedua.
Katanya kini dia dijaga oleh anak bongsunya dari perkahwinan pertama, Siti Nur Hikmah Kagama, 23, dan seorang adik lelakinya, Abdul Aziz, 46 serta ahli keluarga yang lain.
Menceritakan kembali tentang penyakit itu, Norazah berkata selepas membuka implan, dia mempunyai masalah kitaran haid.
“Selepas memakai implan, saya tidak datang haid selama dua tahun, selepas buka implan, haid tidak berhenti empat atau lima bulan.
“Saya tidak tahan lalu saya pergi ke klinik berdekatan untuk membuat pemeriksaan. Doktor beritahu saya ada penyakit ini (kanser pangkal rahim) sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail,”katanya.
Norazah berkata dia memutuskan untuk tidak meneruskan rawatan di hospital kerana pernah menjalani radioterapi sebanyak 30 kali di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
Menurutnya, apa yang membimbangkan adalah nasib tiga anaknya yang masih kecil.

Nur Farisya Nasuha, 10, berharap ibunya akan pulih seperti sedia kala.
“Saya berharap ibu akan sihat macam dulu,”katanya.
Tambah Nasuha, dia dan dua adiknya Nur Farhana Nasuha, 8, dan Muhammad Farhan Danial, 7, menyatakan kerinduan kepada bapanya yang kini berada di Johor.
Pengasas Yayasan Raja Shamri dan The 3rd Force, Raja Shamri Raja Husin, berkata pihaknya berkongsi kisah seperti itu dengan hanya niat untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Terima kasih banyak kerana usaha untuk menyebarkan kebaikan disahut oleh orang-orang baik di luar sana.
“Saya percaya usaha ini tidak akan berhenti di sini. Jom jadi orang baik saham akhirat bersama,”katanya.
Hadir sama Persatuan Wanita Tenaga Nasional Berhad Malaysia (Pelitawanis TNB) Kota Bharu dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas.
IMedikel TV






