BEIJING: Lelaki diperdaya kekasih untuk membelanjakan 100,000 yuan (RM61,285.70) untuk upacara membakar katil perkahwinan terdahulu sebagai permulaan hidup baharu mereka.
Lelaki itu, Wang, dari perbandaran Tianjin di utara China itu bertemu dengan teman wanitanya Li dalam platform temu janji dalam talian sebelum mereka bertemu dan menjalin hubungan cinta.
Katanya, dia yakin dengan kekayaan Li selepas dia menawarkan beberapa hadiah dan berkongsi foto hartanahnya di media sosial.
“Ketika kami hendak bertunang, Li meminta saya wang untuk melakukan ritual membakar katil perkahwinan untuk bekas suaminya, yang meninggal dunia beberapa tahun lalu akibat sakit.
“Li memberitahu, semua hartanya diwarisi daripada bekas suaminya itu dan upacara itu sebagai satu isyarat terima kasih,” katanya menerusi laporan Hongxing News pada 31 Oktober lalu.
Menurut Wang, Li memintanya wang 100,000 yuan untuk melakukan upacara itu sebagai satu keikhlasan.
“Li meminta saya memindahkan wang tanpa saya perlu hadir pada upacara itu kerana akan membawa nasib malang kepadanya.
“Li menghantar beberapa klip video ritual kepada saya sebelum menyekat akaun aplikasi sembangnya dan terus menghilang,” katanya.
Katanya, dia membuat laporan polis selepas menyedari ditipu wanita itu.
Ternyata Li juga menggunakan helah sama untuk menipu 30,000 yuan (RM18,385.71) daripada lelaki lain dan semua hartanya adalah palsu.
Mahkamah Daerah Heping di Tianjin memutuskan, Li melakukan penipuan dan menjatuhkan hukuman penjara 42 bulan serta denda.
Terdapat beberapa ritual perkahwinan khurafat yang diamalkan secara meluas berkaitan dengan katil perkahwinan, yang merujuk kepada katil baru pengantin baru di China.
Difahamkan, menjadi pantang larang untuk sesiapa sahaja termasuk pengantin baru menggunakan katil sebelum hari perkahwinan mereka atau ia mungkin membawa malang kepada perkahwinan baharu. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






