KOTA BHARU: Dalam pemilihan BERSATU Kelantan Sabtu lalu, hanya enam bahagian bertanding manakala lima bahagian tiada pertandingan dan tiga bahagian digantung.
Bagi enam bahagian bertanding, ketua bahagian dimenangi Datuk Kamaruddin Md Nor (Pasir Puteh), Che Johan Che Pa (Pasir Mas), Ahmad Hakimi Mohd Yasim (Kubang Kerian), Zulfaqar Yeop Dahalan (Kuala Krai), Hashim Hamid (Kota Bharu) dan Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi (Ketereh).
Daripada jumlah berkenaan, tiga ketua bahagian mengekalkan jawatan masing-masing iaitu Kamaruddin, Che Johan dan Zulfaqar manakala tiga ketua bahagian yang lain adalah muka baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) BERSATU Kelantan, Mohd Zohan Sapii, berkata daripada 14 bahagian secara keseluruhan, enam bahagian bertanding, lima bahagian menang tanpa bertanding dan tiga tidak dapat buat pemilihan sebab digantung.
“Lima bahagian yang tidak bertanding kerana tidak dicabar adalah Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz (Tanah Merah), Ahmad Nasruddin Abdullah (Pengkalan Chepa), Kairul Azri Mohd Zin (Rantau Panjang), Sikrin Yusof (Bachok) dan Mohd Wira Arjuna Muhamad (Tumpat).
“Semua mereka kekal mempertahankan jawatan masing-masing dan tiga bahagian tidak mengadakan pemilihan disebabkan bahagian terbabit digantung iaitu Gua Musang, Machang dan Jeli,” katanya.
Katanya, proses pemilihan di enam bahagian membabitkan seramai 567 pengundi dan proses pemilihan berjalan lancar.
“Tiga bahagian yang digantung dijangka akan membuat pemilihan selewat-lewatnya pertengahan bulan depan,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






