Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUALA KRAI: “Saya ingin menjadi seorang doktor untuk bantu keluarga saya suatu hari nanti,” itu kata Ayunis Samsudin yang hidup dalam serba kekurangan tetapi tekad untuk melanjutkan Pelajaran di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Beliau yang merupakan anak ketiga dari enam beradik berkata, meskipun dapat melanjutkan pengajian tetapi beliau belum dapat membuat persiapan dengan sepenuhnya oleh kerana kekangan kewangan yang dialami keluarganya.
“Kami hidup dalam serba kekurangan namun saya bersyukur kerana berjaya menamatkan kursus matrikulasi dan mendapat keputusan yang cemerlang.
“Saya ditawarkan untuk mengikuti Program Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan di IPTA Selangor dan sudah berdaftar pada Sabtu lepas” katanya.
Sementara itu, bapanya Samsudin merupakan seorang penoreh getah berkata dia menyara keenam – enam anaknya dengan hasil pendapatan sebulan sebanyak RM400 sahaja.
“Pendapatan saya hanya cukup makan dan minum untuk keluarga sahaja.
“Kebanyakan penduduk Kampung Sungai Peria ini mencari rezeki dengan menjadi penoreh getah dan saya juga kadang-kadang menorah di kebun sendiri atau orang lain,” katanya.
IMedikel TV






