KUALA TERENGGANU: Bekas wira negara dalam sukan angkat berat, Che Mohd Azrol Che Mat, 45, meninggal dunia malam tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Allahyarham yang pernah mengharumkan nama negara di pentas antarabangasa selepas meraih dua pingat emas dalam Sukan SEA di Vietnam 2003 dan Filipina 2005 itu, menghembus nafas terakhirnya pada jam 7.09 minit malam akibat serangan jantung selepas sepuluh hari dimasukkan di hospital berkenaan.
Allahyarham yang masih bujang kerana menjaga ibunya yang sakit, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kecil, Kuala Terengganu selepas solat Isyak pada malam tadi.
Adik Allahyarham, Suraya, 39 berkata, terdahulu arwah yang mempunyai masalah kegagalan buah pinggang dimasukkan ke hospital selepas mengadu lelah sebelum terpaksa ditidurkan.
“Mengikut laporan, arwah abang saya juga dijangkiti kuman dalam paru-paru selain kegagalan buah pinggang yang dihidapinya sejak sembilan tahun lalu.
“Arwah menghembus nafas terakhirnya di sisi keluarga kira-kira jam 7.09 malam tadi di HSNZ akibat serangan jantung sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kecil lebih kurang jam 9.30 malam tadi.
“Saya bagi pihak keluarga Allahyarham mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana urusan pengebumian arwah abang berjalan lancar dan prosesnya juga begitu cepat,” kata Suraya.
Selain mengharumkan nama negara di pentas antarabangasa, Allahyarham yang berasal dari Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu adalah jaguh Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma).
Allahyarham juga pernah berkhidmat dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sebagai jurulatih pembangunan angkat berat pada tahun 2017.
Terdahulu pada tahun 2015, Allahyarham yang sebelum itu juga bergelar jurulatih di MSNT terpaksa berhenti kerja selepas dijangkiti kencing tikus.
Pada tahun 2017, Allahyarham pernah menerima rawatan di HSNZ kerana masalah jangkitan kuman dalam paru-paru selain mengalami masalah buah pinggang, hati dan limpa. – BH Online –
IMedikel TV






